[uap-landing-commission slug=’awareness’]

PENGENALAN DIABETES MELLITUS
Penyakit kencing manis atau diabetes mellitus merupakan sejenis penyakit yang dapat dicirikan dengan keadaan hiperglisemia iaitu tinggi kandungan glukosa dalam darah, terutamanya selepas pengambilan makanan dan cara mengawal kencing manis pada penghidapnya.
BAGAIMANA KENCING MANIS BERLAKU
Kencing manis berlaku apabila kelenjar pankreas sentiasa menggunakan insulin dan kadangkala melebihi paras normal. Pada masa sama badan tidak dapat menggunakan insulin ini, menjadikan pesakit dalam keadaan tidak cukup insulin.
Insulin adalah sejenis hormon yang mengawal paras gula dalam darah. Apabila kita makan atau minum, kandungan gula dalam makanan atau minuman itu meransang kelenjar pankreas untuk menghasilkan insulin. Insulin ‘membenarkan’ gula yang dipecahkan dalam bentuk ringkas dalam darah berpindah ke sel bagi membolehkan sel berfungsi.
Bagaimanapun, sekiranya proses pemindahan tidak berlaku (akibat kekurangan insulin), darah akan mempunyai gula yang berlebihan. Maka dengan itu akan berlakulah kencing manis.Penyakit kencing manis dapat digolongkan sebagai:
Diabetes jenis 1 juga dikenali sebagai diabetes bersandar insulin (IDDM – ‘Insulin Dependent Diabetes Mellitus’) atau diabetes awal remaja. Diabetes jenis 1 dicirikan dengan kegagalan penghasilan insulin oleh kelenjar pankreas. Biasanya, penghidap diabetes jenis pertama mula mendapat simtom penyakit semasa kanak-kanak atau remaja. Disebabkan oleh kegagalan penghasilan insulin semula jadi oleh badan, pesakit memerlukan suntikan insulin dari luar untuk pengawalan tahap glukosa darah.
Diabetes jenis 2 boleh disebabkan oleh kerintangan insulin iaitu penurunan sensitiviti tisu badan terhadap insulin dan/atau penghasilan insulin yang berkurangan. Diabetes jenis 2, oleh kerana masih mempunyai sedikit sebanyak insulin dari pankreas, boleh dikawal secara pemantauan pangambilan makanan, pengurangan berat badan, bersenam, dan pengambilan ubat secara makan/suapan atau pun mudah difahami dengan suntikan insulin diperlukan dalam keadaan tertentu sekiranya pengambilan ubat secara makan kurang berkesan atau memberi kesan samping serius kepada pesakit.
TANDA AWAL KENCING MANIS
- Sentiasa merasa lapar
- Sentiasa merasa haus dan dahaga
- Kerap membuang air kecil
- Berat badan yang menurun
- Pandangan menjadi semakin kabur
- Merasa penat & sakit kaki
PENYAKIT LAIN YANG BOLEH BERLAKU AKIBAT KENCING MANIS YANG BERLARUTAN
- Serangan Jantung
- Angin Ahmar (Stroke)
- Tekanan Darah Tinggi
- Penyakit Buah Pinggang
- Koma atau Tidak Sedarkan Diri
- Rabun Yang Boleh Mengakibatkan Buta
- Gangsen (tisu mati) – kudis yang menular yang boleh menyebabkan kaki dipotong.
- Penyakit Saraf (hilang deria rasa sentuh) seperti tidak merasai kesakitan akibat terpijak objek tajam.
CARA MENGAWAL KENCING MANIS
Diabetes adalah penyakit kronik yang akan kekal seumur hidup. Setakat ini belum ada ubat yang dapat menyembuh penyakit diabetes tetapi penyakit ini boleh dikawal dengan cara berikut:-
- Pengubatan / Rawatan
- Penjagaan pemakanan dan berat badan
- Kerap bersenam
- Insulin
- Pemakanan pesakit diabetes seharusnya kurang lemak tepu dan kalori serta seimbang.
RAWATAN
Penyakit kencing manis biasanya ia merupakan suatu penyakit seumur hidup. Tujuan rawatan untuk penyakit kencing manis ialah untuk melegakan simptom dan mengembalikan paras gula darah kepada paras normal dan untuk mencegah komplikasi. Penyakit kencing manis yang dibiarkan tanpa kawalan akan menyebabkan kerosakan buah pinggang, mata, kaki dan kulit. Cara mengawal kencing manis termasuklah pemakanan, penjagaan berat badan, senaman dan ubat.
PEMAKANAN
- Pesakit kencing manis harus makan 3 kali sehari setiap hari pada masa yang ditetapkan.
- Pesakit tidak patut tertinggal masa makan.
- Makanan yang mengandungi kandungan fiber yang tinggi seperti roti jagung, mi, oat, biskut kraker yang tidak dimaniskan dan sayur-sayuran harus diambil.
- Makanan yang mengandungi kandungan gula yang tinggi, misalnya gula yang telah diproses, coklat dan madu harus dielakkan.
- Pengambilan lemak tepu harus dikekalkan pada paras minimum kerana peningkatan pengambilan lemak akan meningkatkan risiko serangan penyakit jantung. Elakkan daripada menggoreng makanan, sebaliknya, pangganglah makanan anda.
- Pengambilan garam dan makanan yang masin harus dikurangkan. Elakkan makanan seperti kerepek dan kacang tanah.
- Makanan pesakit kencing manis harus dirancang terlebih dahulu. Makanan haruslah seimbang dan kandungan kalori dalam makanan haruslah tetap. Ini bertujuan untuk memastikan terdapat beban glukosa yang tetap untuk dikendalikan oleh badan.
- Pengambilan kalori yang terkawal adalah baik untuk mengekalkan berat badan yang normal.
- Pengambilan alkohol perlu dikekalkan pada paras minimum atau dielakkan kerana alkohol akan mengubah paras glukosa darah.
Pesakit diabetes perlu tahu cara mengawal kencing manis dengan pemakanan yang seimbang. Mereka boleh memakan makanan yang dimakan oleh seisi keluarga, tetapi dalam jumlah yang sederhana, dan mengelakkan gula-gula dan makanan manis yang lain. Mereka tidak perlu membeli ‘makanan diabetes’ yang khas kerana makanan ini adalah mahal dan tidak membawa banyak manfaat. Selain itu, terdapat formula nutrisi yang khas untuk pesakit kencing manis yang tidak dapat mematuhi gaya pemakanan yang disyorkan. Walau bagaimanapun, adalah penting untuk mengingat bahawa pemakanan yang sihat ialah kunci kepada diet seorang pesakit kencing manis.
SENAMAN
Lebih kurang 50% daripada pesakit kencing manis dengan diabetes jenis 2 mempunyai berat badan yang terlalu tinggi. Adalah penting untuk mengekalkan berat badan yang ideal dengan senaman yang konsisten. Senaman membolehkan insulin untuk bertindak dengan lebih baik dan mengekalkan badan yang cergas dan pesakit menjadi lebih sihat. Senaman
yang ideal bagi pesakit kencing manis harus dirancang selepas berjumpa dengan doktor, supaya komplikasi seperti hipoglisemia (kurang gula dalam darah) dapat dielakkan. Berundinglah dengan doktor yang merawat pesakit itu sebelum memulakan sebarang program senaman.
INSULIN
Insulin ialah ubat pilihan bagi diabetes jenis I. Insulin mula dihasilkan untuk rawatan penyakit kencing manis pada tahun 1921. Pada masa itu, bentuk insulin yang ada cuma jenis bovin (daripada lembu) dan porsin (daripada khinzir). Kini, terdapat bentuk sintetik yang serupa dengan insulin yang dihasilkan dalam badan. Insulin ini dihasilkan daripada yis dan bakteria. Insulin hanya diberikan melalui suntikan kerana ia boleh dimusnahkan dalam perut jika diberi melalui mulut. Doktor akan menentukan jenis ubat yang perlu diambil. Sekiranya insulin diberikan, doktor akan merancang program rawatan yang khas untuk setiap pesakit.
Pengkelasan insulin adalah berdasarkan :-
- Masa mula tindak (ia berkaitan dengan kelajuan serapan insulin ke dalam aliran darah).
- Kesan puncak. Masa insulin mencapai kesan maksimum.
- Jangka masa tindak. Tempoh masa insulin bertindak.
HIPOGLISEMIA
Hipoglisemia atau serangan akibat paras glukosa darah yang rendah boleh berlaku ketika menjalani rawatan penyakit kencing manis. Keadaan ini biasanya berlaku kerana :-
- Makan terlalu sedikit.
- Masa makan yang tidak tetap.
- Terlalu banyak insulin atau ubat anti-diabetes.
- Tidak mengambil makanan yang mencukupi sebelum bersenam atau senaman yang terlalu berat.
- Penyakit misalnya cirit-birit
Penyesuaian pada rawatan dibuat adalah amat bergantung kepada gaya hidup pesakit. Ini adalah bertujuan untuk mengelakkan paras glukosa darah daripada jatuh sehingga di bawah paras normal dan mencetuskan serangan hipoglisemia.
SIMPTOM HIPOGLISEMIA
- Kurang tumpuan atau pemikiran yang keliru.
- Mudah marah.
- Loya dan lemah.
- Berpeluh, pucat dan kulit yang sejuk.
- Penglihatan yang kabur.
Rawatan ialah pengambilan gula dalam bentuk tablet glukosa, gula-gula atau minuman manis melalui mulut dengan serta-merta. Masa pemulihan biasanya adalah amat cepat. Walau bagaimanapun, sekiranya simptom itu masih ada, pesakit harus dibawa ke hospital dengan cepat untuk rawatan secepat mungkin.
PENGAWALAN PARAS GLUKOSA DARAH
Hipoglisemia : > 4 mmol glukosa per liter (mmol/L)
Normal : 4 – 5.6 mmol/L.
(NAMUN PARAS SEHINGGA 6.5 MMOL /L MASIH BOLEH DITERIMA)
Pesakit Diabetes :-
< 6.5 mmol/L.
< 11.1 mmol/L selepas makan (pos-prandial).
*Untuk maklumat lanjut tentang bacaan gula darah, [klik sini]
KENCING MANIS YANG TERUK KESAN PSIKOLOGI
- Hilang keupayaan
- Hilang tumpuan
- Tidak bermaya
- Mudah marah
- Merasa rendah diri