HKIII

Cuka Epal Makanan Pesakit Kencing Manis

Pada waktu dulu kalau anda menghadiri majlis perkahwinan, hidangan nasi minyak tidak lengkap tanpa jelatah. Jelatah ialah sejenis lauk yang terdiri daripada timun, nenas, cili merah, sedikit garam dan gula. Sesetengah orang menyediakan jelatah dengan mencampurkan sedikit cuka. Dari segi penghadaman, jelatah membantu menghadamkan protein. ini berlaku kerana kehadiran nenas dan cuka. Cuka yang menjadi makanan pesakit kencing manis juga membantu memperlahankan pelepasan glukos darah secara mendadak selepas seseorang makan makanan yang tinggi dengan karbohidrat.

Hari ini, jelatah jarang menjadi sebahagian daripada hidangan. Sesetengah orang menggantikannya dengan pajeri nanas yang mana kesannya sudah tidak lagi serupa dengan nenas yang tidak dimasak.

Cuka Di Dalam Makanan dan Masakan

Apabila disebut cuka, semua orang tahu bahawa ia merujuk pada cuka makan. Ia berbeza daripada cuka getah berdasarkan struktur kimianya. Cuka getah ialah acid formic di mana struktur kimianya terdiri daripada satu karbon manakala cuka makan ialah asid asetik yang terdiri daripada dua atom karbon. Pada kepekatan yang serupa, pengambilan asid formic sangat bersifat toksik pada  kesihatan manakala asid asetik menyumbang pelbagai kebaikan.

Cuka makan yang terdapat dalam pasaran ialah cuka yang dihasilkan di kilang dan mendapat nama jolokan cuka tiruan. Ia digunakan secara meluas dalam perusahaan makanan termasuk dalam penyediaan pelbagai jenis sos. Ia juga digunakan sebagai bahan awet dalam pelbagai jenis jeruk. Cuka beras juga digunakan secara meluas terutamanya oleh tukang masak dan pengguna kaum Cina.

Hari ini, terdapat pelbagai jenis cuka buah-buahan yang diperbuat daripada anggur, epal dan plum dijual di beberapa hypermarket terkemuka. Yang paling terkenal ialah cuka epal  yang diperbuat daripada pemeraman perahan air epal. Terdapat dua jenis cuka epal yang biasa digunakan di dalam masakan iaitu yang bertapis dan yang tidak bertapis. Cuka epal bertapis berwarna jemih manakala yang tidak bertapis mengandungi mendapan. Cuka epal yang mempunyai mendapan mengandungi kandungan mineral yang lebih tinggi daripada yang bertapis selain mengandungi pectin yang dikatakan berguna untuk kesihatan.

Kegunaan Cuka Epal Secara Terapeutik

Cuka epal digunakan secara terapeutik antara lain untuk meredakan tekanan darah tinggi, menurunkan paras kolesterol dan lemak, mencairkan darah, membantu penghadaman, memecahkan batu karang, melarutkan batu hempedu, dan menurunkan paras glukos darah.

Kajian awal pada tahun 2001 yang dilak-ukan oleh pakar-pakar penyelidik Switzerland menunjukkan pengambilan jeruk buah-buahan yang disediakan dengan kaedah fermentasi lakto sebaik-baik sahaja selepas seseorang mengambil sarapan yang kaya dengan makanan berkarbohidrat menyebabkan pelepasan glukos yang pantas dapat diperlahankan.

Sekumpulan pakar penyelidik yang diketuai oleh Dr. Carol Johnson dari Department of Nutrition, dari Arizona State University menjalankan kajian untuk mengenal pasti kesan pengambilan cuka terhadap paras glukos darah.

Dr. Johnson dan kumpulannya menjalankan kajian terhadap kesan cuka ke atas tiga kumpulan subjek: 10 orang penghidap Diabetes Jenis 2, 11 orang mengalami simptom-simptom menunjukkan mereka mengalami kekebalan insulin prediabetes serta 8 orang yang memiliki kesensitifan insulin normal. Tiada seorang pun daripada subjek kajian tersebut mengambil ubat-ubatan untuk merawat diabetes.

Selepas berpuasa dalam tempoh yang pendek, subjek-subjek diarah mengambil sejenis minuman yang mengandungi 10 gm cuka epal yang telah dilarutkan dalam air dan ditambah gula atau minuman plasebo. Dua minit kemudian, setiap subjek mengambil makanan yang mengandungi sejenis bagel putih dengan lepa susu dan segelas jus oren. Makanan tersebut terdiri dari lebih kurang 90 gm karbohidrat.

Sampel darah diambil sebelum pengambilan makanan, selepas 30 minit dan 60 minit pengambilan makanan. Paras glukos disukat daripada setiap sampel. Seminggu kemudian ujian diulang semula, di mana kumpulan cuka mengambil minuman plasebo dan kumpulan plasebo mengambil minuman bercuka. Kaedah ini dikenali sebagai ujian double-blind.

Dr. Johnson dan kumpulannya melaporkan beberapa keputusan yang penting:

  • Setiap kumpulan mengalami profil glukos dan insulin yang lebih baik selepas pengambilan makanan yang dimulakan dengan minuman bercuka
  • Subjek-subjek penghidap diabetes Jenis 2 yang minum minuman bercuka, kepekatan glukos mereka didapati berkurangan sebanyak 25% dibandingkan dengan penghidap diabetes yang minum minuman plasebo.
  • Subjek-subjek yang mengalami pradiabetes, kepekatan glukos berkurangan hampir separuh berbanding dengan subjek

Yang paling menarik daripada keputusan kajian tersebut ialah subjek-subjek pradiabetes yang minum minuman bercuka didapati mengalami paras glukos yang lebih rendah dari mereka yang memiliki kesensitifan insulin normal di mana mereka juga minum minuman bercuka.

Cuka Epal Paling Sesuai Menjadi Makanan Pesakit Kencing Manis

Buat masa ini, cuka yang paling sesuai digunakan untuk menurunkan paras gula ialah cuka epal. Beli cuka epal yang mempunyai mendapan di mana mendapan tersebut sebenarnya ialah serat epal yang mengandungi pectin. Cuka epal kaya dengan beberapa jenis mineral termasuk kalium dan magnesium.

Cuka nipah digunakan oleh orang pantai timur untuk meredakan tekanan darah tinggi dan paras glukos tinggi. Cuka yang dijual dalam botol-botol kaca ini dipercayai tidak konsisten dari segi kepekatan.

Kepekatan cuka makan dan cuka buah-buahan termasuk cuka epal yang terdapat dalam pasaran mempunyai kepekatan lebih kurang antara 5 – 7% kandungan cuka.

Cuka epal tidak digemari oleh sesetengah orang kerana ia mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan atau meloyakan. Masalah bau ini timbul kepada kebanyakan orang yang agak cerewet dan kurang gemar bahan-bahan makanan dan ubat-ubatan yang `tidak serasi’ dengan lidah mereka.

Mengurangkan Rasa dan Bau

Tambahkan 1/2 sudu besar madu ash, 1 sudu teh molasses iaitu cecair hitam pekat hasil pemprosesan gula tebu kaya dengan vitamin B dan mineral atau ialah 1/3 sudu teh Garam  Buluh pada larutan mengandungi satu sudu besar cuka epal yang hendak digunakan.

Sebanyak 1 – 2 sudu besar cuka epal ditambah ke dalam secawan teh yang disediakan dari 1/2 – 1 sudu besar ketumbar juga menyumbang rasa yang unik. Untuk pengetahuan anda, biji ketumbar ialah sejenis herba yang digunakan secara tradisional untuk menurunkan paras glukos.

Cuka epal juga boleh digabungkan dengan teh yang disediakan daripada daun pandan wangi, pudina, halba, Kei Chi dan teh ‘0’ masala dengan ramuan utamanya kayu manis, cengkih dan buah pelaga. Kayu manis digunakan secara tradisional untuk menurunkan paras glukos darah.

Kesesuaian

Tidak semua orang sesuai mengambil cuka dan cuka epal. Mereka yang mengalami gastritis, ulser peptic dan paras asid perut yang tinggi biasanya mengalami tindak balas apabila mengambil cuka epal.

Selalunya, pembuangan air besar akan menjadi terlalu lawas atau mengalami cirit-birit pada minggu pertama ketika memulakan pengambilan cuka epal. Kepada yang tidak mengalami sebarang tindak balas, gejala tersebut beransur-ansur berkurangan selepas seminggu.

About the Author

HKIII Team

Tags: